Sayidina Husein
lahir pada tanggal 5 Syaban, tahun 4 Hijrah di Kota Madinah. Antara Sayidina Husein
dan abangnya Sayidina Hasan umurnya berbeda setahun sepuluh bulan. Kelahiran Sayidina
Husein menambah kegembiraan Nabi Muhammad saw. Baginda sendiri yang memberi
nama “Husein” yang bermakna, “Si kecil cantik”.
Pada saat menyambut
kelahiran cucu lelakinya yang kedua itu, Nabi Muhammad saw sangat ceria. Namun,
ketika sedang memangku cucunya itu, tiba-tiba wajah Baginda berubah.
Orang-orang yang berada di keliling baginda merasa heran mengapa wajah baginda
tiba-tiba berubah sedih. Rupanya Nabi Muhammad saw sudah tahu bahwa akhir hidup
Sayidina Husein amat menyedihkan di mana beliau akan dibunuh dengan kejam.
Sebagai cucu
yang selalu dipanggil sebagai puteranya, Nabi Muhammad saw sangat sayang sekali
dengan Sayidina Husein. Pada suatu hari, ketika masih kecil, Sayidina Husein terlihat
bertengkar dengan abangnya Sayidina Hasan di hadapan Baginda dan ibu mereka, SayidatinaFatimah. Perkara seperti itu biasa berlaku di kalangan kanak-kanak. Nabi
Muhammad saw segera menegur Hasan. Sayidatina Fatimah merasa kurang senang
melihat sikap Nabi Muhammad saw menegur seorang saja dari kedua cucunya itu.
Maka Sayidatina Fatimah berkata:
“Wahai ayah,
kenapa menegur Hasan saja?”
“Karena Malaikat
Jibril sudah menegur Husein,” jawab baginda.
Tatkala kecilnya
Sayidina Husein selalu berada di sisi kakeknya sewaktu baginda sedang mengajar
para Sahabat. Maka dia mendapat berbagai ilmu dan contoh teladan dari kakeknya secara
langsung. Sebagaimana abangnya, Sayidina Husein juga seorang yang cerdik. Dia
telah dapat menghafal hadis-hadis Nabi Muhammad saw sejak dari kecil.
Sayidina Husein
memang ditakdirkan Allah untuk menjadi seorang yang agung di kalangan umat
Islam. Sejak kecil, beliau menunjukkan contoh-contoh akhlak yang terpuji yang
mewarisi sifat-sifat ayah dan kakeknya. Sejak kecil juga, beliau telah
menunjukkan sifat berani sebagaimana ayahnya juga. Setelah kewafatan Nabi
Muhammad saw, yakni waktu Sayidina Umar Al Khattab menjadi Khalifah, ketika
beliau sedang memberi khutbah di mimbar, Sayidina Husein yang masih kanak-kanak
telah berkata kepada Sayidina Umar dengan beraninya,
“Turun engkau
dari mimbar ayahku (Nabi Muhammad saw) dan pergilah berkhutbah di atas mimbar
ayahmu.”
Sayidina Umar
yang suka merendah diri menjawab dengan lembut kepada cucu kesayangan Nabi
Muhammad saw itu,
“Ayahku tidak
mempunyai mimbar seperti ayahmu.”
Sayidina Umar
turun dari mimbar dan mengangkat Sayidina Husein untuk duduk di sebelahnya
sebelum menyambung khutbahnya. Demikian beraninya Sayidina Husein waktu
kecilnya.
Dalam hal
keberanian, Sayidina Husein lebih dari Sayidina Hasan, abangnya. Demikianlah
yang telah diwariskan dari Nabi Muhammad saw untuknya. Beliau banyak menyertai
peperangan bersama umat Islam.
Sewaktu
kewafatan Khalifah Sayidina Ali, Sayidina Hasan telah dilantik sebagai
khalifah. Demi menjaga perpaduan umat Islam, akhirnya Sayidina Hasan
menyerahkan jawatan itu kepada Sayidina Muawiyah. Sayidina Husein tidak
bersetuju dengan tindakan abangnya itu. Namun karena menghormati abangnya, maka
Sayidina Husein akur.
Sebelum Muawiyah
meninggal, beliau telah berwasiat agar anaknya Yazid menggantikan tempatnya
setelah dia tiada. Waktu itu Yazid memaksa semua para Sahabat membuat pengakuat
taat setia kepadanya. Ketika itu Sayidina Husein telah berangkat meninggalkan
Kufah, menuju ke Madinah. Sebenarnya ramai yang tidak bersetuju dengan
perlantikan Yazid itu. Penyokong-penyokong Sayidina Husein mengutus surat kepadanya agar dia
kembali ke Kufah untuk dilantik sebagai Khalifah. Penduduk Kufah enggan
menerima Yazid sebagai khalifah.
Sebelum kembali
ke Kufah, Sayidina Husein telah menghangtar utusannya untuk menyiasat apakah
benar isi kandungan surat
itu. Setelah ternyata ia benar maka Sayidina Husein bersiap-siap untuk membawa
kaum keluarganya kembali ke Kufah. Sayidina Husein yang sangat baik, tidak
sedikit pun menaruh syak wasangka bahwa suatu yang buruk akan menimpa dirinya
dan ahlul bait yang lain.
Para Sahabat Nabi
Muhammad saw yang masih hidup ketika itu menasihatkan Sayidina Husein agar
jangan kembali ke Kufah karena keadaan ketika itu sangat bahaya. Kerabatnya
yang terdekat yaitu Abdullah bin Abbas telah bersungguh-sungguh coba menghalangi
Sayidina Husein namun Sayidina Husein tetap dengan pendiriannya. Kemudian Abdullah
menasihatkannya pula agar jangan membawa ahli-ahli keluarga karena bimbang jika
apa yang menimpa Khalifah Uthman bin Affan juga akan menimpa Sayidina Husein.
Sewaktu Khalifah Uthman dibunuh oleh pemberontak, peristiwa itu disaksikan oleh
ahli keluarganya sendiri. Abdullah bimbang jika keluarga dan keturunan Nabi
Muhammad saw akan dibunuh kesemuanya.
Sayidina Husein
tetap mahu membawa keluarganya bersama. Maka akhirnya rombongan Sayidina Husein
yang terdiri dari 72 orang pun berangkat ke Kufah. Kebanyakan anggota rombongan
adalah wanita dan kanak-kanak termasuk anak Sayidina Husein iaitu Ali Zainal
Abidin yang sedang beranjak remaja.
Ada pihak memberitahu Yazid bahwa Sayidina Husein
hendak merampas kuasa. Maka Yazid telah menghantar tenteranya untuk menghalang Sayidina
Husein dari dibaiat oleh penduduk Kufah. Ada
riwayat yang menyatakan bahwa Yazid cuma mengarahkan tenteranya untuk
menyiasat, bukan untuk membunuh Sayidina Husein dan keluarganya. Namun, apa
yang berlaku seterusnya sungguh sangat menyayat hati.
Rombongan Sayidina
Husein yang seramai 72 orang itu terpaksa berdepan dengan tentera Yazid seramai
4000 orang! Terjadilah peristiwa berdarah di Karbala. Pembunuhan kejam terhadap kaum
keluarga Nabi Muhammad saw di Karbala itu berlaku pada 10 Muharram tahun 61
Hijrah. Pertempuran itu telah menyebabkan hampir seluruh anggota rombongan Sayidina
Husein dibunuh.
Pertempuran itu
berlaku dari waktu subuh hingga ke waktu Asar. Sungguh pun rombongan Sayidina Husein
kecil jumlahnya namun mereka bermati-matian mempertahankan diri. Dalam perang
itu, Sayidina Husein menunjukkan keberanian luar biasa. Walaupun dalam keadaan
sulit dan bahaya, beliau sempat mengerjakan solat Zuhor dan Asar.
Apabila hampir
rembang, tinggal beberapa orang saja dari kalangan keluarga Sayidina Husein
sedangkan pihak musuh telah kehilangan hampir 1000 orang tenteranya.
Pertempuran yang berlangsung begitu lama menunjukkan betapa hebatnya Sayidina Husein
dan anak-anak buahnya menentang musuh.
Akhirnya Sayidina Husein menemui ajalnya apabila sebatang anak panah
tiba-tiba mengenai tubuhnya, tepat di bahagian jantungnya. Dalam keadaan
berlumuran darah dan amat letih setelah sehari suntuk berperang, Sayidina Husein
menghembuskan nafasnya yang terakhir di padang Karbala itu.
Kata-kata terakhir
yang diucapkannya,
“Oh Tuhan,
mereka telah membunuh putera Nabi Mu sedangkan di dunia ini tiada lagi putera
Nabi selain aku.”
Dalam perang itu
mereka yang selamat adalah wanita dan kanak-kanak termasuk adik Sayidina Husein, yaitu Zainab Al Kubra dan anak Sayidina Husein iaitu Ali Zainal Abidin. Ali Zainal Abidin lah yang menjadi penyambung
keturunan Nabi Muhammad saw. Dia juga nyaris dibunuh tetapi Tuhan mengkehendaki
agar bersambungnya keturunan Nabi Muhammad saw, maka dia terselamat.
Kepala Sayidina Husein
telah dipotong dan dihantar kepada Yazid.
Mengikut sejarah, Yazid menangis apabila melihat kepala cucu Nabi
Muhammad saw itu. Beliau mengarahkan agar kepala itu dihantar ke Madinah
berserta keluarga dan anaknya, dengan upacara kehormatan dan kemuliaan. Tubuh
Husein dikuburkan di Karbala, sedangkan kepalanya ditanam di Madinah.
Demikainlah
perginya cucu kesayangan Nabi Muhammad saw itu. Dia menjadi korban keganasan
fitnah oleh golongan yang cinta dunia. Menurut suatu keterangan sejarah, tiada
seorang pun dari mereka yang terlibat dalam pembunuhan Sayidina Husein dan
ahlul bait di Karbala itu selamat. Allah
telah menyegerakan hukuman untuk mereka di dunia lagi. Ada yang mati dibunuh, ada yang jadi buta,
ada yang mukanya jadi hitam dan macam-macam lagi. Bahkan ada yang kehilangan
kuasanya dalam waktu yang singkat. Mereka berniat untuk membunuh keturunan Nabi
Muhammad saw tetapi Allah menyelamatkan Ali Zainal Abidin, anak lelaki tunggal
Sayidina Husein sebagai penyambung keturunan baginda Nabi Muhammad saw. Dari
Ali Zainal Abidin, lahir banyak keturunan yang mulia dan suci ini.
No comments:
Post a Comment